KUCHING: Jualan tiket Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 dihadkan kepada 5,000 kemasukan sahaja setiap malam bagi memastikan Prosedur Standard Operasi (SOP) dipatuhi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun orang ramai yang berminat masih dapat menyertai festival tersebut secara maya melalui platform dalam talian yang akan digunakan kelak.

“Berbanding tahun sebelumnya, RMWF disiarkan percuma secara dalam talian. Tahun ini, bayaran sebanyak RM25 akan dikenakan dan boleh dibeli melalui laman web rwmf.net,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran RWMF 2022 di Auditorium Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.

Karim turut memberitahu bahawa orang ramai boleh mendapatkan tiket tawaran awal (early bird) untuk konsert fizikal bermula 18 April ini.

Karim ketika berucap dalam majlis Pelancaran RWMF 2022 di Auditorium Muzium Budaya Borneo

Tiket dijual mengikut pakej tertentu seperti berikut – pas satu hari dewasa (RM150), pas tiga hari dewasa (RM375), pas satu hari kanak-kanak (RM80), pas tiga hari kanak-kanak (RM155) dan pas pakej keluarga satu hari bagi dua dewasa dan dua kanak-kanak (RM400).

Sementara, Ketua Pegawai Operasi MASWings mewakili Kumpulan Penerbangan Malaysia Kapten Nasaruddin A. Bakar memberitahu bahawa diskaun penerbangan sehingga 15 peratus juga disediakan bermula 25 April hingga 14 Mei bagi perjalanan 1 Jun hingga 30 Jun 2022 untuk memudahkan penumpang ke RMWF.

Jelasnya, pelanggan boleh memilih tawaran nilai untuk penerbangan, melalui Journify yang menawarkan MHflypass serta pas tiga hari ke RWMF pada harga tetap yang menarik..

Karim (tengah) bersama yang lain selepas menyempurnakan majlis Pelancaran RWMF 2022 di Auditorium Muzium Budaya Borneo

Suara Sarawak