Gambar fail

SELEPAS dua tahun sambutan Aidilfitri tidak diserikan dengan penganjuran majlis rumah terbuka, semestinya fasa peralihan ke endemik ketika ini memberikan gambaran positif kepada masyarakat khususnya mereka yang menyambut perayaan tersebut.

Lazimnya kita melihat majlis rumah terbuka Hari Raya bukan hanya dikunjungi oleh sanak saudara, sahabat yang beragama Islam sahaja tetapi juga dimeriahkan oleh rakan-rakan berbangsa Iban, Cina, India dan banyak lagi.

Bahkan, di Sarawak sendiri kita melihat rumah terbuka ini seperti lambang perpaduan kerana ia disambut bersama-sama dengan sahabat dan rakan-rakan berbangsa lain.

Bagaimanapun, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sambutan Hari Raya tidak meriah, bahkan tiada penganjuran rumah terbuka dibenarkan.

Sehubungan itu, tahun ini sudah pasti dengan fasa peralihan negara ke endemik, rakyat mengharapkan rumah terbuka dapat dilaksanakan pada Hari Raya kali ini kerana ada yang merindui kemeriahannya.

Persoalannya ketika ini, adakah penganjuran rumah terbuka dapat dilaksanakan tahun ini?

Adakah prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kali ini?

Dalam hal berkaitan, perkara tersebut juga telah mendapat perhatian daripada wakil rakyat di negeri ini dan mereka juga mengingatkan bahawa masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga meskipun kita dalam fasa endemik.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, penganjuran majlis rumah terbuka secara besar-besaran pada Aidilfitri kelak perlu dipertimbangkan dengan baik.

Sekiranya majlis tersebut hanya diadakan untuk keluarga dan sahabat terdekat, ia tidak menjadi masalah.

Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada MKN, KKM dan JPBN sama ada majlis rumah terbuka boleh diadakan atau tidak.

Penularan Covid-19

Tambahnya, penganjuran rumah terbuka secara besar-besaran itu mungkin boleh menyebabkan penularan Covid-19 kerana pada masa ini ia masih wujud dalam kalangan masyarakat dan semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Selain itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dr Annuar Rapaee mengingatkan masyarakat Islam di Sarawak agar tidak terlalu teruja untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri bulan depan walaupun negara kini sudah memasuki fasa endemik.

Perkara tersebut kerana keadaan wabak Covid-19 di Sarawak kini masih belum stabil sepenuhnya.

Katanya, sekiranya mereka mahu mengadakan rumah terbuka, jumlah pengunjung mestilah tidak terlalu ramai dan perlu mematuhi SOP.

Melihat kepada perkara tersebut, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri semata-mata walaupun penganjuran rumah terbuka itu satu perkara yang baik kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim tetapi kita perlu memahami keadaan ketika ini.

Jika penganjurannya secara terbuka dan besar-besaran, ia boleh mendatangkan perkara yang tidak diingini seperti penularan wabak Covid-19.

Belum bebas Yang pasti, semasa tempoh peralihan ke fasa endemik ini, kita sememangnya perlu akur dan belajar hidup bersama wabak tetapi itu bukan bermakna kita boleh bebas dan kembali kepada kehidupan normal seperti dahulu sepenuhnya.

Apa-apa sahaja SOP yang akan dilaksanakan oleh pihak berwajb kelak, kita perlu akur, sama seperti sebelum ini walaupun tidak dinafikan ada segelintir pihak yang akan kurang senang.

Tetapi jika kita memikirkan kesan secara keseluruhannya ia bukan satu masalah lagi.

Kita sudah biasa hidup dalam mematuhi SOP, sehingga kini juga kita perlu menggunakan pelitup separuh muka, menjaga penjarakan fizikal, menggunakan cecair pensanitasi jadi sekiranya ada SOP baharu dilaksanakan ia tidak sukar untuk kita.

Tidak dinafikan juga semua pihak ketika ini mengharapkan sesuatu perkara positif menjelang Hari Raya kelak kerana sudah ramai yang teruja ketika ini.

Oleh yang demikian, kita semua perlu menunggu apakah SOP untuk Hari Raya kelak, adakah kita dapat mengadakan majlis rumah terbuka?

Bagaimanakah pelaksanaannya kelak?

Kita tunggu dan lihat.

Suara Sarawak