KAPIT: Tourism Task Group (TTG) Bahagian Kapit mempelawa orang ramai menyertai Pertandingan Safari Rakit Baleh Kapit (SRBK) Edisi ke-25 yang akan diadakan di sini pada 13 hingga 14 Mei depan.

SRBK adalah acara sukan air yang menggabungkan elemen kebudayaan, alam semula jadi dan pengembaraan yang diadakan setiap tahun di Bahagian Kapit serta dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Sarawak.

Bagi Edisi 2022, peserta SRBK akan menempuh perjalanan sepanjang 23 kilometer melalui Sungai Baleh dan Sungai Rajang. Pelepasan peserta akan diadakan di Rumah Rantai Nanga Semunte, Batang Baleh dan berakhir di Terminal Penumpang Kapit.

Pertandingan SRBK ini turut melibatkan beberapa kategori iaitu Kategori Rakit Buluh Lelaki Terbuka, Rakit Buluh Wanita Terbuka, Perahu Kayuh Terbuka dan Kayak Terbuka.

Peserta yang bertanding juga berpeluang memenangi Anugerah Rakit Berhias dan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, piala serta sijil. Menurut Pegawai Seranta SRBK, Nuim Lium, pelbagai aktiviti selingan turut dirancang untuk dilaksanakan, ekoran dua tahun SRBK tidak dapat dilaksana disebabkan pandemik Covid-19.

“Antara aktiviti tersebut ialah pertandingan memancing, sukan rakyat, dan persembahan kebudayaan,” ujarnya lagi.

Bagi yang berminat menyertai pertandingan SRBK, borang penyertaan boleh didapati melalui Nuim Lium di talian 084-796322. SRBK kali ini juga akan dimeriahkan dengan penganjuran Bazar Gawai Bahagian Kapit yang bermula 14 hingga 21 Mei depan di Kapit Town Square. – Japen

PESERTA Safari Rakit Baleh Kapit edisi lepas. 

Suara Sarawak