KUCHING: Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah bersetuju dan bersepakat untuk mengenepikan keperluan mengadakan pemilihan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) pada hujung minggu ini.

Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu yang berkata, persetujuan dicapai bagi memelihara kepentingan perpaduan dan keseimbangan dalam parti.

“Kesepakatan barisan kepimpinan tertinggi ini juga dicapai selepas pengorbanan besar yang dilakukan oleh Naib Presiden PRS Datuk John Sikie dan Pemangku Presiden, Datuk Joseph Salang,” katanya pada sidang media PRS di sini, hari ini.

Menurutnya, Sikie telah mempamerkan sikap pemimpin dan teladan yang mengagumkan apabila menarik diri daripada bertanding jawatan sebagai Presiden – jawatan yang disandang oleh mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika hayatnya.

“Beliau menawarkan diri untuk menerima jawatan yang lebih rendah dalam barisan kepimpinan walaupun telah menerima banyak pencalonan untuk jawatan presiden parti.

“Sementara Joseph Salang telah bersetuju untuk dikekalkan dalam jawatan presiden bagi mengekalkan keseimbangan dalam parti,” jelasnya.

Untuk rekod, PRS, parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak akan mengadakan TDC di Sibu pada 23 dan 24 April ini.

Janang Bunsu selepas sidang media khas PRS di sini, hari ini.

Suara Sarawak