KUCHING: Dalam tempoh hanya 22 bulan, dadah dan bahan terlarang bernilai RM33,023,017.33 berjaya dirampas di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) Datuk Seri Fatimah Abdullah,

Menurutnya, ia sekali gus berjaya menyelamatkan seramai 387,011 pengguna berpotensi menyalahgunakannya.

“Kejayaan itu juga berjaya mengurangkan sebanyak 3,096,093 kali penggunaan dadah bagi setiap bulan terhadap pelbagai jenis dadah seperti syabu, ketamine, ganja, serbuk ectasi, eramin dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua JSJN IPK Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Ujarnya, ia merupakan kes-kes rampasan yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak yang diketuai oleh ACP Jasmirol Jamaluddin untuk tempoh Jun 2020 hingga April 2022.

“Dalam tempoh tersebut juga harta bernilai RM10,244,472.8 telah disita dan 59 tangkapan dibawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) direkodkan melibatkan harta dan penangkapan pengedar dadah,” tambahnya.

Tegasnya, semua kejayaan ini sangat penting kerana ia bermakna kita berjaya mengurangkan bekalan dan pengedaran dadah di Sarawak terutamanya di pusat hiburan dan dalam masa yang sama melemahkan operasi sindiket-sindiket yang terlibat.

Fatimah merakam kenangan selepas menerima kunjungan hormat daripada Ketua JSJN IPK Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Suara Sarawak