KUCHING: Sebanyak tiga kes kebakaran rumah dengan melibatkan tujuh kematian berlaku di Sarawak dalam tempoh Januari hingga 16 April tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara kes kemalangan jiwa berbanding tahun lalu yang hanya mencatat dua kes kematian akibat kebakaran.

“Antara melibatkan kematian ialah kebakaran rumah di Kampung Seberang Kedai Lawas dan Kampung Bahagia Jaya yang masing-masing menyebabkan tiga kes kematian.

“Manakala satu kes lagi di Kampung masjid Kuala Baram, Miri pada 12 April lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat 16 April, seramai 37 mangsa kebakaran berjaya diselamatkan manakala 12 lagi disahkan mengalami kecederaan.

“Dalam tempoh itu juga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu mencatatkan rekod balai paling aktif terlibat operasi iaitu sebanyak 48 kebakaran.

“Diikuti BBP Lopeng sebanyak 37 kebakaran, BBP Miri Sentral (33), BBP Petra Jaya sebanyak (32), BBP Batu Lintang (27) dan BBP Sibu Sentral (25),” katanya lagi

Tambahnya, bagi balai bomba mencatat kes terlibat kebakaran rendah dalam tempoh sama adalah BBP Kanowit, BBP Song, BBP Kidurong dan BBP Belaga masing-masing mencatatkan satu kes kebakaran.

Manakala balai bomba terlibat kes terendah katanya, adalah BBP Asajaya yang mencatat sifar kes.

Sementara itu dedah beliau, jenis kebakaran tertinggi berlaku adalah melibatkan bangunan sebanyak 99 kes, diikuti belukar atau lalang sebanyak 92 kes, lain-lain kes sebanyak 68 kes dan kenderaan 61 kes.

 

PAMER… Khirudin bercakap mengenai maklumat pengesanan awal kecemasan yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat

Suara Sarawak