SEKITAR majlis mesyuarat Jawatankuasa induk penyelarasan pembangunan usahawan dan Peniaga Kecil Sederhana
(PKS) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDCC), di Hotel Pullman.

KUCHING: Sarawak masih kekal sebagai penyumbang enam teratas kepada ekonomi negara bagi tahun 2016 hingga 2020 terutamanya melalui aktiviti dalam sektor perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, ia merupakan hasil yang diperoleh daripada pemain industri termasuk Peniaga Kecil Sederhana (PKS) dalam memacu ekonomi negara.

“Kita akan terus bekerjasama antara satu sama lain bagi merealisasikan hala tuju Premier Sarawak, untuk membangunkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Ini kerana MSME (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mewakili 97.4 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan pada 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Jawatankuasa induk penyelarasan pembangunan usahawan dan Peniaga Kecil Sederhana (PKS) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDCC), di Hotel Pullman di sini.

Menurutnya, pertumbuhan PKS di peringkat nasional dianggarkan kira-kira 35 peratus dari 2016 hingga 2021.

Senario ini juga adalah sama seperti yang di Sarawak iaitu kirakira 80,000 pertubuhan perniagaan adalah dalam kalangan PKS.

“Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh kementerian saya, hampir 99 peratus PKS mengalami kerugian pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, PKS kami terus menggunakan strategi yang berbeza untuk mengharungi tempoh kritikal, dengan 12.7 peratus daripada mereka memilih untuk menjalankan perniagaan mereka dalam talian,” katanya lagi.

Memandangkan pentingnya PKS kepada pembangunan negeri, Awang Tengah juga berkata bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong dan memupuk pertumbuhan dan daya saing PKS terutamanya dalam masa yang mencabar ini.

Pada 2021, kementerian ini membantu 10,750 usahawan di seluruh Sarawak melalui program seperti pembinaan kapasiti, pembangunan produk dan pensijilan.

Selain itu, kementerian ini juga menyiapkan pembangunan tiga projek taman perindustrian seperti yang dijadualkan, dengan keluasan 297 ekar di Kuching, Sri Aman dan Kapit, dengan perbelanjaan RM153.1 juta.

“Buat masa ini, kami masih meneruskan pembangunan sembilan projek taman industri baharu di Samalaju, Betong, Sematan, Bau, Rantau Panjang, Demak Laut, Sebuyau dan Marudi.

“Ini diikuti penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) yang terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan yang terlibat dalam pembangunan PKS di Sarawak,” jelasnya lagi.

Untuk makluman, melalui rombakan kabinet baru-baru ini, kementerian ini tetap menerajui penggubalan dasar dan penyelarasan berkaitan perdagangan antarabangsa, pelaburan, perindustrian, e-dagang, terminal perindustrian, kawasan perindustrian, penyeliaan Pejabat Perdagangan Sarawak dan program pembangunan usahawan, termasuk pembangunan PKS dan industri Halal.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak