Sarawak perlu gubal undang-undang perdagangan karbon

KUCHING: Sarawak perlu menggubal undang-undang mengenai perdagangan karbon yang mematuhi protokol antarabangsa, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, undang-undang tersebut mesti berdasarkan protokol antarabangsa yang telah dipersetujui dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-26 (COP26) di Glasgow tahun lalu.

“Sekarang saya banyak mendengar ramai yang datang mencadangkan tentang perdagangan karbon, tetapi untuk Sarawak sehingga kini kita belum mempunyai undang-undang sendiri untuk itu.

“Justeru, undang-undang perdagangan karbon perlu diwujudkan dengan mematuhi protokol antarabangsa.

“Ini memang masa depan dalam era ekonomi moden, sudah tentu Sarawak perlu mengambil bahagian,” katanya pada ucapan perasmian Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2022 di sini, semalam.

Semasa persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, perjanjian antara pemimpin dunia mengenai satu set peraturan baharu untuk mengawal selia pasaran karbon telah dipersetujui bagi membolehkan negara memperdagangkan hak untuk mengeluarkan gas rumah hijau.

Tambahnya, usaha terlibat dalam perdagangan terbabit dengan mengambil kira cabaran perubahan iklim dan isu alam sekitar semasa yang memerlukan Sarawak meneroka bidang ekonomi hijau yang mampu membantu menjana pendapatan baharu.

“Oleh sebab itu Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada ekonomi hijau kerana ia adalah masa depan yang berasaskan hidrogen.

“Sarawak sudah mempunyai projek perintis untuk menghasilkan hidrogen dan ia adalah satu kejayaan memandangkan kita mempunyai pelabur yang tertarik untuk datang ke negeri ini.

“Rancangannya ialah Sarawak mengeluarkan 100,000 tan hidrogen. Lama kelamaan, pengeluaran hidrogen akan menjadi lebih cekap kerana peningkatan dan kemajuan teknologi,” ujarnya.

Jelasnya, dengan semua usaha terbabit ekonomi Sarawak akan selaras dengan permintaan global yang mahukan kelestarian alam sekitar terutamanya dengan menyertai perdagangan karbon.

“Sarawak bernasib baik kerana ia mempunyai kerajaan yang stabil, kita boleh mendorong untuk mencapai sasaran negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Saya juga memberi jaminan bahawa dua buah kementerian baharu yang ditubuhkan akan fokus kepada transformasi ini,” katanya lagi.

Suara Sarawak