Sarawak setuju guna pakai protokol baharu

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju untuk mengguna pakai ketetapan serta protokol baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). JPBN dalam kenyataan medianya Jumaat berkata, ia selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 April lalu.

“Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah bermesyuarat dan bersetuju untuk mengguna pakai ketetapan serta protokol baharu yang ditetapkan tersebut.

“Keputusan ini berkuat kuasa mulai 1 Mei ini,” katanya.

Antara protokol yang yang ditetapkan adalah tidak mewajibkan imbasan kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam; pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka serta kes positif Covid-19 perlu menjalani pengasingan selama tujuh hari dari tarikh sampel positif diambil.

Selain itu, protokol yang dibuat oleh KKM juga ialah tidak perlu penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang; penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka dan salam dibenarkan, tetapi sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman.

Seterusnya, kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka dan individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah mereka yang positif Covid-19, individu dalam tempoh pengasingan di rumah (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, JPBN memaklumkan laporan mingguan kes Covid-19 hanya akan dikeluarkan pada setiap Isnin.

Berhubung situasi Covid-19 di Sarawak ketika ini, JPBN memaklumkan Sarawak mencatatkan kadar vaksinasi yang tinggi dalam populasi dewasa dengan 91 peratus telah lengkap vaksinasi dan 75 peratus telah menerima dos penggalak.

Manakala bagi kes Covid-19 katanya, kadar kemasukan kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi semakin berkurangan.

“Selain itu, pil antiviral Paxlovid kini boleh didapati di Sarawak dan kit ujian kendiri Covid-19 mudah didapati di pasaran,” jelasnya.

Sementara itu, sekiranya berlaku kenaikan kes Covid-19, JPBN akan menyediakan Hospital Medan (Sibu, Miri dan Kuching).

Bagi kes positif di Sarawak, JPBN memaklumkan Sarawak mencatatkan kes dua angka dengan 97 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 305,190 kes. Ujarnya, daerah Kuching merekodkan 36 kes, diikuti Bintulu (15), Miri (13), Sibu (12), Samarahan (4), Serian (3) dua kes di daerah Subis, Meradong, Kapit serta Lundu dan masing-masing satu kes di Sarikei, Simunjan, Kanowit, Lubok Antu, Tatau dan Saratok.

Suara Sarawak