KUCHING: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negeri dibuktikan apabila menyumbang dua buah pikap jenis Isuzu D-Max kepada Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA).

Penyerahan aset bernilai RM279,400 itu disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak, Mohamad Nizam Wang kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Dato Sri Hazani Ghazali di ibu pejabat Briged Sarawak PGA, di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak Abdul Rahman Brahim dan Komander Briged Sarawak PGA SAC Che Ghazali Che Awang.

Justeru, Hazani menyampaikan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi sumbangan kepada Briged Sarawak PGA untuk penugasan bagi mengawal sempadan negeri ini.

“Kenderaan ini kita akan fokuskan kepada rondaan di sempadan sejajar dengan cadangan kita untuk membuka jalan rondaan antara Sarawak dengan Kalimantan.

“Saya rasa terharu menerima sumbangan daripada Kerajaan Sarawak yang cukup prihatin dengan keselamatan negeri ini,” katanya ketika ditemu-bual.

Pada 2021, sejumlah RM726,200 telah disumbangkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Briged Sarawak PGA di bawah peruntukan Jawatankuasa Kawalan Sekuriti Sarawak bagi aset-aset bantuan logistik.

Ia terdiri daripada lapan unit All Terrain Vechicle (ATV), motosikal Honda Wave Alpha (16 unit), motosikal Scrambler (10 unit), dron beserta kamera (6 unit), set jana kuasa elektrik (19 unit), Mobile Irrigation Trailer (8 unit), khemah (20 unit), meja lipat (20 unit), kerusi plastik (85 unit), unit tenaga solar (5 set) dan rumah sewa (2 buah – bayaran sehingga Disember 2021).

Terdahulu sebelum majlis penyerahan sumbangan losgistik berkenaan, berlansung Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Komander Briged Sarawak PGA antara pemangku merangkap Timbalan Komander Briged Sarawak PGA ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan Che Ghazali, dengan disaksikan oleh Hazani.

 

Mohamad Nizam (dua kanan) menyerahkan replika kunci kepada Hazani (dua kanan) sambil disaksikan oleh Che Ghazali (kanan) serta pegawai Briged Sarawak PGA.

Suara Sarawak