KUCHING: Kerajaan Sarawak turut melaksanakan polisi baharu bagi penjaga dan pelawat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) bagi meneliti perkara itu.

“Kita memutuskan untuk turut melaksanakan polisi tersebut kerana menjaga pesakit di hospital merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat dengan penjaga dan ahli keluarga boleh tinggal di wad hospital,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu perkara tersebut ketika ditanya media adakah Sarawak akan mengikuti polisi baharu tersebut selepas pelancaran Galeri Seni Persatuan Autistik Kuching (KAA) di sini, hari ini.

Tambahnya, semasa tempoh pandemik Covid-19, Sarawak sebenarnya sudah melaksanakan dasar tersebut dengan salah ibu bapa atau penjaga dibenarkan menjaga pesakit di wad-wad hospital khususnya melibatkan kanak-kanak.

Terdahulu, pada Khamis Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM membenarkan pesakit-pesakit di wad ditemani oleh penjaga dan menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu bermula 23 April.

Dr Sim ketika ditemui pada Majlis pelancaran Galeri Seni Persatuan Autistik Kuching (KAA) di sini, hari ini.

Suara Sarawak