KUCHING: Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menafikan bahawa beliau tidak mencadangkan pelitup muka dimansuhkan di negara ini.

Sebaliknya Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, beliau hanya mencadangkan agar peraturan pemakaian pelitup muka itu dilonggarkan.

“Apa yang saya cuba nyatakan sebelum ini adalah supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) tidak menjadikan pemakaian pelitup muka diwajibkan.

“Saya tidak tahu Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii faham bahasa Inggeris mudah atau tidak. Saya tidak mengatakan bahawa kita harus menanggalkan pelitup muka sepenuhnya.

“Apa yang saya katakan adalah fleksibiliti, orang ramai diberi pilihan, atau prosedur operasi standard (SOP) dibuat kurang tegar,” katanya dalam sidang media sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Berjemaah Premier Sarawak bersama Persatuan Anak-anak Yatim (PERYATIM), petang semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Kelvin Yii semalam bahawa setiap keputusan melonggarkan SOP Covid-19, walaupun dalam endemik, mesti berdasarkan data dan sains.

Tambah beliau, walaupun SOP sudah kurang dipraktikkan sekarang, undang-undang masih ada.

“Jika kita tidak memakai pelitup muka, kita boleh dikompaun dan dikenakan bayaran. Saya sendiri kalau naik kenderaan awam atau tempat awam tetap pakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa pihak berkuasa harus menawarkan pilihan iaitu untuk menggunakan pelitup muka atau tidak kepada masyarakat, tetapi mengingatkan mereka bahawa virus Covid-19 masih ada.

“Cukup beritahu mereka Covid-19 masih ada dan perlu berhati-hati. Beri mereka pilihan… Begitulah cara saya melihatnya.

“Tetapi cara Kelvin menyatakan perkara itu seolah-olah saya mahu pelitup muka itu ditanggalkan sepenuhnya. Tidak, saya tidak berkata demikian,” jelasnya.

Suara Sarawak