SELAMAT DATANG…Sebastian (dua kiri) memakaikan rantai manik kepada penumpang Scoot Singapura yang tiba di LTAK, di sini malam tadi.

KUCHING: Sektor pelancongan Sarawak kembali rancak dengan kedatangan pelancong susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Malam tadi, penerbangan antarabangsa iaitu Scoot Singapura membawa 157 penumpang mendarat di Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 7.35 malam.

Pesawat itu turut membawa rakyat Sarawak yang terkandas di kota singa itu sejak dua tahun lalu serta pelancong warga Singapura, Belanda, Australia, China dan Korea Selatan.

Kedatangan mereka disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting dan Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee.

Sebastian berkata, kedatangan pelancong antarabangsa ke Sarawak menandakan negeri ini membuka pintu untuk sektor pelancongan.

Katanya, kembalinya pelancong ke negeri ini merupakan suatu petanda yang baik sekaligus meletus semula industri pelancongan setelah dua tahun terjejas akibat sekatan pergerakan.

“Berbanding tahun 2020 dan 2021, kita semua tahu bahawa industri itu sendiri antara yang terjejas.

“Oleh itu, apabila saya kata meletup ia bermakna kita menjangkakan ramai pelancong datang ke sini,” katanya ketika ditemui media, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian serta industri pelancongan di sini berbesar hati dan bersedia menerima kemasukan pelancongan khususnya dari luar negara pada masa akan datang.

Malah katanya, kadar penerbangan Scoot Singapura dijangka bertambah pada masa akan datang sekiranya terdapat permintaan.

“Ketika ini, jumlah penerbangan bagi Scoot Singapura adalah tiga kali seminggu ke Kuching sementara ke Miri, dua kali seminggu,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau yakin sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan iaitu 1.2 juta pelancong datang ke Sarawak tahun ini dapat dicapai.

“Industri pelancongan dan kita juga bersedia untuk menyambut mereka kerana kita di Sarawak mempunyai budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival yang boleh diterokai mereka,” katanya.

SWAFOTO…. Julie Bong, warga Sarawak yang pulang dari Singapura sempat berswafoto dengan Sebastian dan Chang Kee.

Suara Sarawak