KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri menyerahkan kit khairat kematian, sumbangan sempena Ramadan, dana untuk aktiviti masjid dan surau serta peralatan usahawan di kawasannya, hari ini.

Bagi kit khairat kematian, beliau mengagihkan sebanyak 320 kit kepada 10 masjid di Sadong Jaya iaitu Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Masjid Darul Iman Daerah Sadong Jaya, Masjid Darul Salam Kg Sadong Jaya Ulu, Masjid Silaturrahmi Kg Iboi/Pelandok, Masjid Al-Bugisiah Kg Ulu Pelandok, Masjid Darul Makmur Kg Pelandok Laut, Masjid Datuk Amar Hj. Abdul Taib Mahmud Kg Jaie, Masjid Darul Islam Kg Jemukan, Masjid Al-Azhar Kg Semera dan Masjid Riadzusyalihin Kg Semera.

“Semoga pemberian kit pengurusan jenazah ini dapat melancarkan urusan kita dan memudahkan penduduk di sini,” kata Nancy sempena majlis yang diadakan di Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub.

Manakala bagi sumbangan Ramadan diberikan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KKMM), pengerusi serta imam masjid dan surau.

Bagi dana untuk masjid dan Surau, sebanyak 27 buah masjid dan 17 surau menerima bantuan itu, yang keseluruhannya berjumlah RM190,000.

Setiap masjid menerima RM8,000 dan setiap surau RM5,000.

Dalam pada itu, Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata keperluan anak muda juga tidak dipinggirkan apabila seramai 19 usahawan menerima peralatan dan kelengkapan untuk mengembangkan perusahaan masing-masing.

“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan ekonomi khususnya para belia di kawasan Parlimen Batang Sadong,” katanya.

Justeru, Nancy berkata program berkenaan merupakan pelaksanaan kepada enam teras hala tuju pembangunan Parlimen Batang Sadong yang dirangka sebagai panduan untuk meningkatkan dan menyeimbangkan proses pembangunan di Parlimen Batang Sadong.

Enam teras hala tuju itu ialah pembangunan infra/fizikal, pembangunan sumber manusia, pembangunan sosio-ekonomi, pembangunan komuniti, wanita dan belia, pembangunan sukan, rekreasi dan kesukarelawan serta pembangunan kerohanian.

Nancy menyerahkan bantuan peralatan dan kelengkapan kepada salah seorang usahawan muda di Parlimen Batang Sadong.

Suara Sarawak