KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) mengalu-alukan penyertaan belia dalam Program Bakat Muda bagi mencungkil bakat baharu untuk pembangunan sistem pengangkutan awam negeri ini.

Program yang melibatkan kontrak selama 24 bulan itu memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak yang berusia bawah 27 tahun.

Menurut Sarawak Metro, selain menyediakan pengalaman tempat kerja dan peluang untuk bekerja bersama barisan profesional yang berpengalaman, ia turut menawarkan elaun serta faedah.

“Program ini diharap dapat memberi peluang kepada belia Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada industri yang pantas dan dinamik sekali gus menyumbang ke arah pembangunan pengangkutan awam masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, program tersebut turut memberikan keutamaan kepada para pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Teknologi Pengangkutan Rel, Awam, Mekanikal, Elektrik dan Elektronik), Pengurusan Pembinaan, Ukur Bahan, Pengurusan Risiko dan sebagainya.

Mereka yang berminat untuk menyertainya, boleh hantarkan resume serta gambar terkini selewat-lewatnya pada 30 April 2022 ke ytp.application@mysarawakmetro.com.

 

Suara Sarawak