KUCHING: Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program ‘Jom Baca Bersama 2022’ yang dijalankan serentak di seluruh negara pada jam 11 pagi, 21 April depan.

Bertemakan ‘bangkit baca dan syukur’, program anjuran Pustaka Negeri Sarawak itu bakal sempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Pustaka Negeri Sarawak dalam kenyataan berkata, program yang mengajak orang ramai untuk membaca selama 10 minit itu bertujuan memberi kesedaran serta memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

“Pelbagai pengisian kepada orang awam akan turut diadakan bagi memeriahkan aktiviti, antaranya adalah Anugerah Pengguna Aktif, Pertandingan Sesi Bercerita Kanak-Kanak, Pertandingan Menulis Cerpen serta banyak lagi.

“Malah turut dianjurkan pelbagai aktiviti secara dalam talian secara langsung di Facebook rasmi Pustaka Negeri Sarawak bermula jam 1 hingga 4 petang,” kata kenyataan itu.

Justeru itu, orang ramai dijemput menyertai serta menyokong program ini di mana-mana sahaja anda berada.

Kongsikan detik penyertaan anda dengan memuat naik gambar dan video beserta #jombacaswk2022 #sarawakmembaca.

 

Suara Sarawak