KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan domestik digesa untuk segera menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau memaklumkan perkara itu semasa mempengerusikan mesyuarat khas semalam, melibatkan MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat-syarikat penerbangan.

Mesyuarat itu bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung kenaikan harga tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri.

“CAAM telah meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan dan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutama menjelang musim perayaan.

“Kementerian melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, MAVCOM, CAAM serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.

Ujarnya, berdasarkan pemantauan yang dijalankan, harga tambang penerbangan pada 30 April ini (tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri) telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada 2019.

“Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.

“Mekanisme penetapan harga dinamik juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa,” jelasnya.

Beliau menjelaskan syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19.

“Pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat.

“Sementara bagi bulan ini kekerapan penerbangan ke Sabah dan Sarawak masih rendah iaitu hanya pada tahap 68 peratus berbanding 2019,” katanya lagi.

Suara Sarawak