KUCHING: Telbina Technology Sdn. Bhd. bersedia menyahut cabaran Kerajaan Sarawak dalam membantu menyiapkan pembinaan projek sakit di negeri ini terutamanya di kawasan luar bandar.

Pengerusinya Datuk Rahman Lariwoo berkata, atas inisiatif itu pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam segi pembangunan infrastruktur dari negara China, CSCEC Strait Construction and Development Co. Ltd.

“Dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) ini, kita bersedia membantu Kerajaan Sarawak menyiapkan beberapa mega projek yang telah dikenal pasti mengalami kelewatan pembinaan atau ‘sakit’.

“Saya percaya cara ini dapat membantu kerajaan  menyelesaikan masalah tersebut terutama dan usahasama ini sudah boleh bermula bila masa-masa kerana MOU sudah dimeterai,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis mendatangani MOU antara keduadua syarikat terbabit dengan disaksikan oleh Menteri di Pejabat Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai di sini, pada Isnin.

Tegasnya, usaha itu penting bagi membantu kerajaan kerana kelewatan pembinaan projek seperti itu menjejaskan penduduk tempatan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Syarikat kami bersemangat dalam menjemput lebih banyak syarikat asing untuk mengambil bahagian dari segi berkongsi kemahiran, serta kepakaran teknologi mereka dalam menyokong serta mempercepatkan semua pembangunan mega di Sarawak.

“Selain itu, MOU ini bagi mengukuhkan syarikat kami terlibat dalam pembangunan infrastruktur di Sarawak kerana masih banyak projek mega yang akan datang di negeri ini,” jelasnya lagi.

Sementara dalam ucapannya, Lariwoo memberitahu tujuan utama kerjasama itu adalah untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan kesalinghubungan antara negara dalam memperkasakan usaha Kerajaan Sarawak mencari jalan untuk menyediakan projek infrastruktur terbaik.

“Saya percaya melalui inisiatif ini akan ada akses yang lebih baik kepada seluruh negeri dan akan menguntungkan dari segi pembangunan ekonomi sekali gus menggalakan lebih ramai pelaburan. Manakala Pengarah Eksekutif CSCEC Strait Construction and Development Co. Ltd. Jiang Yin Gui memberitahu, beliau percaya kepakaran yang dimiliki pihaknya akan membantu memudahkan usaha Kerajaaan Sarawak membina infrastruktur yang lebih baik.

“Kerajaan Sarawak telah melancarkan sejumlah besar projek infrastruktur yang lebih untuk rakyatnya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta menggalakkan pembangunan ekonomi. “Justeru, kerjasama ini akan memberi kelebiha kepada keduadua pihak, saling melengkapi, meningkatkan daya saing dan bersama-sama mengembangkan pasaran negeri ini,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang; Pengerusi IEM Cawangan Sarawak Datuk Janang Bungsu; Pengarah Eksekutif Cscec Strait (Malaysia) Construction And Development Sdn Bhd En Jiang Yin Gui dan Timbalan Pengurus Besar Cscec Strait (Malaysia) Construction And Development Sdn Bhd Tiana Lin.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak