KUCHING: Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew yakin pemain dapat memperoleh tiga pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung dari 28 September hingga 8 Oktober nanti.

Ia meskipun temasya kali ini hanya menawarkan lima pingat emas menjadi rebutan kontinjen bertanding berikutan pengecualian acara berpasukan yang tidak dipertandingkan berbanding temasya sebelumnya.

“Untuk Sukma Kuala Lumpur 2022, kita cuba meraih sekurang-kurangnya tiga pingat secara keseluruhan iaitu emas, perak dan gangsa,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Patrick, beliau percaya pemain mampu merealisasi misi tersebut dengan mengambil kira persiapan rapi dilakukan ketika ini.

Justeru, beliau berharap perancangan ke arah itu berjalan lancar sepenuhnya.

“Ketika ini sesi latihan pemain berjalan secara berasingan disebabkan kesemua pemain terikat dengan tanggungjawab sebagai pelajar,” jelasnya.

Tambahnya barisan pemain terbabit berada di Sibu, Miri, Kuala Lumpur dan Amerika Syarikat.

“Segalanya tidak menimbulkan masalah bagi mereka untuk kekal fokus dengan latihan,” katanya.

Katanya lagi tiga acara iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran antara yang berpotensi menyumbang pingat untuk kontinjen Sarawak.

Patrick pada masa sama menyatakan pihaknya juga sudah memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi di temasya Sukma Kuala Lumpur 2022.

Seramai 13 orang pemain terpilih berentap dalam kejohanan itu, tujuh lelaki dan enam wanita.

Untuk rekod, pasukan tenis berjaya meraih empat pingat semasa Sukma lepas iaitu dua
emas dan dua gangsa.

PRESIDEN SLTA…Datuk Patrick Liew.

Suara Sarawak