Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengesahkan video yang tular mengenai penangkapan empat lelaki dalam sebuah kereta di Satok, di sini merupakan suspek yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata penahanan kesemua suspek dibuat oleh pasukan serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dan D9 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, yang bertindak atas maklumat kira-kira jam 2.30 petang 19 April lalu.

“Dalam operasi berkenaan, pihak polis telah membuat pemeriksaan dalam kereta jenis Proton Wira di Satok.

“Hasil pemeriksaan telah merampas dadah disyaki syabu dianggarkan seberat 103 gram bernilai RM10,000 dan 64 biji pil Erimin 5 dianggarkan bernilai RM3,200,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah keempat-empat suspek berusia 20, 30, 31 dan 34 tahun itu turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Ahsmon berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah,” katanya.

Empat suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Empat suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Semalam tular satu rakaman video berdurasi 2 minit 50 saat di media sosial menunjukkan sekumpulan polis cuba menahan keempat-empat suspek yang menaiki sebuah kereta.

Suspek turut dilihat merempuh dua buah kenderaan di hadapan dan belakangnya bagi melarikan diri namun gagal.

Justeru, Ahsmon mengingatkan orang ramai agar tidak memanipulasikan rakaman video berkenaan.

Dadah yang dirampas daripada suspek yang ditahan di Satok.

 

Video yang menunjukkan kereta dinaiki suspek cuba merempuh dua buah kereta di depan dan belakangnya bagi melarikan diri namun gagal.

Suara Sarawak