KUCHING: Syarikat telekomunikasi diseru untuk meluaskan perkhidmatan ke kawasan luar bandar Sarawak untuk manfaat semua pihak, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurutnya, pembekal telekomunikasi seperti Celcom, Digi, Maxis dan lain-lain perlu berganding bahu dengan pihak Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyediakan perkhidmatan internet meliputi kawasan luar bandar.

“Kita sedar bahawa pihak pembekal lebih tertumpu di kawasan bandar kerana ia lebih menguntungkan. Namun, pihak tersebut perlu melihat manfaat jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Pendigitalan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak komited bergerak ke arah digital selaras mencapai visi negeri maju menjelang tahun 2030.

Tambah Julaihi, pihaknya juga sentiasa bersedia membawa syarikat telekomunikasi mengadakan lawatan tapak agar mereka melihat sendiri permintaan dan potensi perkhidmatan di kawasan luar bandar.

(kiri depan) Pengerusi SACOFA Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain, Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Pengerusi PPTEL Abang Abdillah Izzarim ketika acara Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Pendigitalan Sarawak disaksikan Julaihi dan lain-lain

Suara Sarawak