ADUN Mambong Datuk Dr. Jerip Susil ketika ditemu-bual selepas merasmikan penubuhan Ranting Kampung Semadang, PBB N.19 Mambong di D’Redian, Kampung Semadang malam tadi.

KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berhasrat menjadi calon di Parlimen Puncak Borneo sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang harus turun padang menabur jiwa bakti, bukannya sekadar melobi atas dasar merasakan diri berpotensi dan mendapat sokongan sesetengah pihak.

Menegaskan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata pendedahan diri seperti itu amat penting kerana ia akan dinilai oleh rakyat.

“Sesiapa sahaja asalkan ahli PBB, kalau minat (menjadi calon) mesti turun padang menabur jiwa bakti.

“Dari situ, rakyat akan nampak dan ingat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan Ranting Kampung Semadang, PBB N.19 Mambong di D’Redian, Kampung Semadang malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekas Pegawai Daerah Padawan, Rangen Jamang yang kini dilihat aktif turun padang di Parlimen Puncak Borneo susulan PRU-15 dijangka diadakan tidak lama lagi.

Manakala ditanya mengenai penyandang Parlimen Puncak Borneo yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Jerip merangkap Menteri Muda Pengangkutan menyerahkan segala keputusan kepada kepimpinan tertinggi PBB dan GPS.

“Soal Willie terserah kepada pihak tertinggi parti kerana sekarang beliau ahli Bersatu…sama ada mohon jadi ahli PBB atau PBB mahu mengambilnya itu urusan pihak tertinggi parti.

“Beliau sememangnya menjalankan tugas dengan baik sebagai timbalan menteri kerajaan persekutuan tetapi kalau dari segi pencalonan (untuk PRU), itu memang terpulang kepada pihak tertinggi parti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan sama ada Rangen atau Willie, selagi calon itu adalah dari PBB dan GPS.

Parlimen Puncak Borneo sebelum ini menjadi kubu kuat PBB yang disandang oleh Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, sebelum ia dimenangi oleh Willie yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRU-14 pada 2018.

Suara Sarawak