KUCHING: Veterinar Sarawak ketika ini membenarkan pergerakan daging babi dari Sibu, Samarahan dan Kuching bagi menampung permintaan di Miri, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Pada masa sama, katanya rumah sembelih babi di Krokop, Miri mungkin akan dibuka lebih awal sekiranya ia telah memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mendapat kelulusan dari Veterinar Sarawak.

“Ingin diingatkan bahawa bekalan daging yang ada di pasaran adalah selamat untuk dimakan dan bekalan adalah mencukupi bagi perayaan Gawai yang akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai aduan berkenaan penyembelihan babi di luar premis yang dibenarkan sejak penutupan rumah sembelih babi di Krokop, Rundi berkata pemantauan dan persampelan ke atas premis-premis terbabit telah dilaksanakan.

Beliau berkata hasil siasatan menunjukkan daging-daging babi diperolehi secara sah dari sumber yang dibenarkan.

Jelasnya mengikut Seksyen 62, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, penyembelihan perlu dilakukan di premis yang dilesenkan oleh Penguasa Veterinar Negeri.

“Mana-mana pihak yang didapati mengingkari seksyen tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Suara Sarawak