KUCHING: Dua rakan baik masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM9,000 kepada seorang pegawai Imigresen, Januari tahun lalu.

Tertuduh Moi Chiew, 46, dan Arkah , 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Steve Ritikos selepas satu pertuduhan alternatif dibacakan terhadap mereka.

Steve Ritikos menetapkan hukuman penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memberikan wang tunai berjumlah RM9,000 kepada seorang Pegawai Imigresen Mathew Krishen Nyambau sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap 11 orang warga asing yang merupakan pekerja tertuduh kedua (Siti Hamidah).

Kesemua warga asing tersebut merupakan warga Indonesia yang didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama.

Mereka melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Operasi Khas, Jabatan Imigresen Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, 17 Januari 2021.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Menurut fakta kes, pada 17 Januari 2021, sekitar jam 2 pagi, Pasukan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia telah melakukan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong Bukit Siol 2, Petra Jaya, di sini, telah menahan 15 warga asing yang tidak mempunyai dokumen dan pas sah memasuki negara ini.

Pada hari yang sama, sekitar jam 2.30 petang, tertuduh kedua(Hamidah) mengarahkan tertuduh pertama (Arkah) untuk memberi suapan kepada pegawai JIM, Mathew Krishen sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap 11 daripada 15 orang pekerja asingnya yang ditangkap dalam operasi tersebut.

Pegawai tersebut menolak wang suapan tersebut dan mengarahkan tertuduh untuk menyimpannya. Namun tertuduh masih memaksa untuk menerima wang terbabit.

Kemudian, sejurus selepas menerima wang itu, mangsa terus membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wang terbabit turut diserahkan mangsa kepada pegawai SPRM untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

SPRM: Tertuduh kedua (Siti Hamidah Abdullah) bersama suami ( baju biru) diberi keterangan oleh pegawai SPRM (Baju putih)

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak