Seorang lelaki tempatan bersama kenderaan cuba diseludup keluar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

LUNDU: Pasukan tentera berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup keluar sebuah kenderaan di sempadan Malaysia-Indonesia, di sini, semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, anggota yang sedang melaksanakan rondaan telah terserempak dan menahan sebuah Proton Exora yang mencurigakan kira-kira jam 10.10 malam.

Katanya, kenderaan tersebut dikesan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, Pos Kandaie, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut yang dipandu oleh seorang warga tempatan tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

“Ia juga dipercayai untuk diseludup keluar dan dijual di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM 45,000.

Katanya, lelaki berumur 28 tahun itu bersama-sama kenderaan yang dirampas telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, katanya, anggota 1 Divisyen turut menahan tiga lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia cuba memasuki negara di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, Pos Kandaie, kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Anggota telah terserempak dengan tiga individu terbabit yang berusia sekitar 38 hingga 41 tahun di kawasan terbabit dalam keadaan yang mencurigakan.

“Tiada rampasan dibuat dan kesemua mereka diusir dan diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying,” katanya sambil memberitahu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Lundu.

Tiga Pati warga Indonesia cuba menyelinap masuk ke dalam negara diusir dan diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying.

Suara Sarawak