Tong sampah yang diletakkan di kawasan Buddhist Village, Jalan Tanjung Durian – Kopit, Bau diterbalikkan dan dibuang ke parit oleh individu tidak bertanggungjawab.

BAU: Tong sampah diterbalikkan dan dibuang ke parit, itu perbuatan yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab terhadap kemudahan awam berkenaan yang disediakan di kawasan Buddhist Village, Jalan Tanjung Durian – Kopit di sini.

Perbuatan vandalisme itu sekali gus mendapat kutukan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serembu Miro Simuh, yang amat terkilan dengan tindakan sedemikian yang merosakkan harta awam.

“Masyarakat perlu memupuk nilai kepentingan bersama dan toleransi tinggi dalam memastikan setiap perkhidmatan yang kerajaan berikan, mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Manakala, Majlis Daerah Bau (MDB) memohon agar penduduk setempat lebih menghargai kemudahan yang diberikan kerana perbuatan merosakkan harta benda awam hanya akan mengundang kesusahan kepada penduduk yang lain.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini juga akan menyebabkan keindahan kawasan sekeliling terjejas,” katanya.

Justeru, MDB mengajak masyarakat agar menanam sikap bertanggungjawab dalam diri agar lebih menghargai kemudahan yang telah disediakan untuk kesenangan dan kesejahteraan bersama.

Suara Sarawak