KUCHING: Seorang wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat urut.

Tertuduh Le Thi Kim Mo, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mahkamah menetapkan sekiranya tertuduh gagal membayar denda akan dikenakan hukuman penjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat urut di Jalan Lapangan Terbang, sekitar jam 12.00 pagi, 9 April lalu.

Menurut fakta kes, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah pusat urut kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dan telah menahan seorang wanita warga asing yang ketika itu bersama-sama seorang anggota polis yang melakukan penyamaran.

Tertuduh mempunyai permit pekerja sementara yang sah sehingga bulan September tahun ini mengaku menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan dengan kadar bayaran RM200.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak