KUCHING: Masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19, walaupun penganjuran Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri mungkin dibenarkan pada tahun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, orang ramai diingatkan untuk mengadakan sambutan tersebut dengan jumlah kehadiran tetamu yang terhad.

“Tahun ini nampaknya sambutan Hari Raya sedikit berbeza kerana negara sudah memasuki Fasa Peralihan Endemik dan masyarakat kita sudah boleh bebas sedikit melakukan pergerakan.

“Mungkin tahun ini dibolehkan diadakan rumah terbuka, tetapi jumlah tetamu hendaklah mengikut SOP yang ditetapkah. Jangan terlalu ramai, maklumlah kita kadang-kadang terlupa mematuhinya dalam keriangan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2022 untuk agens-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Sarawak bertempat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Tegasnya, pematuhan kepada SOP amat penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan bersama serta memastikan situasi semasa sentiasa terkawal walaupun sudah diberikan kelonggaran.

Untuk rekod, penganjuran rumah terbuka untuk Aidilfitri tidak dibenarkan di Sarawak sejak tahun 2020 susulan penularan Covid-19.

Abang Johari menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2022 untuk agens-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Sarawak bertempat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Suara Sarawak