Misi pencarian dilaksanakan di sekitar kawasan sasaran

 

SEBUYAU: Misi pencarian seorang kru bot nelayan hilang diperluas ke 530.62 batu nautika persegi mengikut koordinasi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, sektor Operasi Carilamat tertumpu di sekitar perairan Pulau Burong, Sebuyau dan Triso buat masa ini.

“Jumlah keluasan keseluruhan setakat ini adalah 700.58 batu nautika persegi bermula hari pertama sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, masih belum ada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat pencarian pada hari ini.

Dalam pada itu, pihak bomba melalui Balai Bomba Penyelamat (BBP) Simunjan menerima laporan dari PBK II Justin Basik untuk membantu dalam misi pencarian tersebut.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak turut melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama.

“Lokasi SAR hari pertama tertumpu kepada lokasi kejadian dalam lingkungan radius lebih kurang 5km,” katanya.

Sementara, pasukan penyelamat turut melaksanakan Bantuan Search Rescue Unit (SRU) dengan menggerakkan satu aset JBPM dan satu aset APM sebagai usaha pencarian mangsa.

Dalam pada itu, cuaca dilaporkan baik di lokasi dengan arah angin bertiup dari Barat Daya dengan kelajuan angin 20km hingga 30km sejam serta ketinggian ombak setinggi 1 meter sehingga 1.5 meter.

Terdahulu, seorang kru bot fiber dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki terbalik akibat terlanggar kapal pasir di Sungai Rama pada jarak lebih kurang 4 kilometer dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Sebuyau.

Misi pencarian masih giat dilaksanakan dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.

Misi pencarian dilaksanakan di sekitar kawasan sasaran

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak