KUCHING: Kerajaan perlu menetapkan siling ke atas harga tiket penerbangan antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah untuk menangani isu harga tiket yang membebankan terutama pada setiap kali menjelang musim perayaan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata buat masa ini, tiada harga siling ditetapkan menyebabkan orang Sarawak dan Sabah amnya terpaksa membeli tiket pada harga yang mahal untuk pulang.

“Mesti ada siling…kalau harga tiket bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching sehingga RM2,000, itu memang tidak munasabah,” katanya pada sidang media sempena menyambut ketibaan penerbangan sulung sekali sehari Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4.30 petang, hari ini.

Menurut Karim, pihaknya sememangnya melihat isu berkenaan secara mendalam dan telah berunding dengan kerajaan persekutuan bagi menyelesaikannya.

Bagaimanapun, katanya ia perlu dilihat dari pelbagai sudut agar ia memberi situasi menang-menang kepada masyarakat dan syarikat penerbangan.

“Perbincangan kita berterusan tetapi kita kena praktikal juga, jika harga tiket murah dan sesetengah penerbangan hanya mempunyai 20 atau 30 penumpang maka operator akan rugi,” katanya.

Dalam pada itu, Karim berkata orang ramai sendiri boleh mengelak daripada membayar tiket penerbangan yang mahal dengan membeli tiket lebih awal sebelum perayaan.

Dengan itu, katanya syarikat penerbangan dapat menguruskan jadual penerbangan mengikut jumlah tiket yang sudah dibeli.

“Misalnya di Semenanjung tidak ada Gawai, mungkin sebelum Gawai penerbangan akan ditambah dari Johor ke Kuching,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi juga mengingatkan orang ramai agar membeli atau menempah tiket lebih awal sebelum tibanya perayaan.

“Kalau tempah awal, kita boleh tambah penerbangan tapi kalau tempah dua atau tiga hari sebelum perayaan, memang tidak sempat dan baki kerusi yang ada akan melonjak harga sehingga RM2,000 atau RM3,000 kerana semua orang berebut,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata isu harga tiket sedemikian timbul setiap tahun dan hanya melibatkan baki satu atau dua kerusi dalam sesebuah penerbangan.

“Bila tidak ada kerusi lagi, harga itu akan terus pergi ke harga siling…jadi kita cadangkan kepada pengguna untuk membuat tempahan awal kerana kalau tempahan sudah habis sekalipun, kita tahu ada permintaan dan boleh tambahkan kapasiti,” katanya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi (kiri) bercakap pada sidang media sempena menyambut ketibaan penerbangan sulung sekali sehari Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 4.30 petang, hari ini.

Suara Sarawak