KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak United FC II (SU FC II), Safri Amit menegaskan pemainnya hanya diberi cuti seminggu bermula 29 April ini sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, semua pemain perlu kembali menyambung semula latihan mereka pada 6 Mei depan.

“Tiada cuti panjang untuk pemain pada lebaran nanti, cuma seminggu sahaja dan mereka kembali menyambung latihan pada 6 Mei depan,” ujar Safri kepada Arena Suara Sarawak.

Bagaimanapun, beliau percaya tempoh cuti yang diperuntukkan dapat memberi peluang kepada pemain terutama yang beragama Islam berhari raya bersama keluarga masing-masing.

“Kita sedia maklum dua tahun lepas ada kalangan pemain tidak dapat balik ke kampung halaman masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

“Justeru, kesempatan cuti yang ada itu kelak dapat melepas rasa rindu terhadap orang tersayang,” tambah Safri lagi.

Safri memberitahu, beliau merancang mengatur beberapa aksi persahabatan untuk pemainnya dalam usaha mengembalikan tahap kecergasan diri.

TETAP BERLATIH…Pemain SU FC II tetap menjalani latihan seperti biasa sepanjang bulan Ramadan.

Suara Sarawak