KUCHING: Penduduk rumah pangsa Tabuan Park tidak lagi menderita menghidu bau najis selepas siapnya projek pemasangan tangki septik.

Setiausaha Politik di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie berkata, projek bernilai RM200,000 itu melibatkan pemasangan 10 tangki.

Menurutnya, dana untuk projek tersebut adalah menerusi Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Sekarang tiada lagi bau najis di rumah pangsa ini. Minggu lepas saya melihat sendiri pelaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan menerusi kontraktraktor tempatan yang dipilih menerusi cabutan undi.

“Terima kasih kepada Datuk Bandar Kuching Selatan (Datuk Wee Hong Seng) dan kaunselor MBKS yang bersamasama menjayakan projek ini,” ujarnya.

Syed Hamzah menjelaskan, golongan belia di Tabuan Park tidak akan dipinggirkan.

“Kita merancang untuk membina gelanggang futsal untuk manfaat belia di kawasan ini,” jelasnya.

SYED HAMZAH melihat sendiri keadaan tangki septik yang siap dibina di Tabuan Park.

Suara Sarawak