KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menegaskan tiada lagi pemberian vaksin Covid-19 secara percuma melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi mereka berusia lima hingga bawah 12 tahun selepas 15 Mei ini.

Menurutnya, sejumlah 286,000 kanak-kanak daripada kumpulan ini telah menerima dos pertama mereka dan 46,000 kanak-kanak telah mendapatkan dos kedua mereka pada masa ini.

“Buat masa ini kami memerlukan 8,000 lagi untuk tampil mencapai 80 peratus (kadar vaksinasi jumlah kanak-kanak yang layak berumur 5 hingga 12 tahun).

“Manakala untuk mencapai 100 peratus, kami memerlukan 66,000 lagi untuk kanak-kanak ini tampil,” katanya menerusi satu kenyataan Facebooknya semalam selepas ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan.

Daripada rekod pemvaksinan yang terbukti untuk orang dewasa, beliau berkata Sarawak boleh mencapai angka yang lebih baik dari segi pemvaksinan untuk kanak-kanak.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggesa lebih ramai ibu bapa membawa bersama anak mereka untuk imunisasi percuma itu sementara perkhidmatan itu masih tersedia.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak