KUCHING: Imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam di negara ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin menyeru orang ramai supaya terus mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

“Hanya individu dengan status “berisiko tinggi” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan yang diberi arahan perintah pengawasan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy memberitahu kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi.

Disamping itu, Khairy mengumumkan, sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

“Sebagai permulaan, fungsi yang sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes akan diubah sebagai kawasan jangkitan untuk melihat kawasan penyakit-penyakit lain seperti rabies, demam campak, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi,” jelasnya.

Suara Sarawak