MUKAH: Tiga lelaki ditahan polis di dua lokasi berasingan, di sini, pada Selasa kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Berdasarkan saringan awal air kencing, semua suspek yang bekerja sebagai buruh itu didapati positif dadah jenis Amphethamine.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, kes pertama melibatkan dua lelaki warganegara Indonesia yang ditahan di dalam sebuah pondok di sebuah ladang sekitar jam 12.45 tengah hari dalam Ops Tapis Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.

“Semasa pemeriksaan, kita menjumpai sebuah bag kecil berzip warna hitam di atas tanah berhampiran kedua-dua suspek ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai lima paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 10.55 gram bernilai anggaran RM1, 055,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua telah barang dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Februari lalu, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Sementara tangkapan kedua pada jam 5.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Tegak Mukah.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek berusia 52 tahun, telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.46 gram bernilai anggaran RM100.

“Siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak Disember 2015 dan mempunyai tiga kes dadah lampau,” katanya lagi.

Untuk itu kedua-dua buruh asing berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak