KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (MANRED) telah mencapai persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti perkara berkaitan keselamatan makanan.

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jawatankuasa ini terdiri daripada barisan pegawai daripada kedua-dua kementerian tersebut di peringkat persekutuan dan juga negeri.

“Mereka akan bekerjasama bagi mencari jalan terbaik untuk memastikan keselamatan makanan negara terus terjamin terutama dalam tempoh pasca-Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam bersama MAFI sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Sarawak di sini, malam tadi.

Menurutnya, isu keselamatan makanan amat mencabar pada ketika ini kerana negara berdepan dengan masalah kekurangan serta ketidakstabilan bekalan.

“Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab yang besar dan perlunya penglibatan serta kerjasama erat antara kedua-dua pihak bagi mengelola pendekatan, dasar dan polisi baharu untuk menangani masalah tersebut,” tegasnya.

Beliau juga berkata MAFI dan MANRED turut berkongsi aspirasi yang sama dalam membangunkan industri agro makanan di semua peringkat.

Hadir sama, Menteri MANRED Datuk Seri Dr Stephen Rundi.

Ronald menerima cenderamata daripada Rundi pada Majlis Makan Malam bersama MAFI sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Sarawak di sini, malam tadi.

Suara Sarawak