Tujuh lelaki ditahan terbabit pergaduhan di kedai makan
Lokasi kejadian berlakunya pergaduhan mengakibatkan tiga cedera dan kini menerima rawatan di HUS.

PADAWAN: Polis menahan tujuh lelaki selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah premis makan di Jalan Matang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 malam.

Katanya, sebelum kejadian berlaku, pengadu seorang lelaki berumur 18 tahun sedang duduk di hadapan kedai makan bersama rakan yang lain telah diserang oleh sekumpulan lelaki lebih kurang 10 orang dengan bersenjata tajam.

“Akibat kejadian, rakan pengadu berumur 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan kepala telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

“Manalala dua orang suspek berumur 30 dan 43 tahun turut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di HUS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur 26 hingga 40 tahun dan pihaknya juga masih giat mengesan suspek yang lain.

Tambahnya, polis turut merampas senjata tajam yang ditemui di tempat kejadian.

“Permohonan reman akan dipohon bagi melengkapkam kertas siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abang Zainal berkata, punca kejadian adalah disebabkan masalah pembahagian keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati.

“Kes ini tidak ada melibatkan mana-mana kumpulan tertentu mahupun hutang judi seperti mana yang diviralkan di dalam media sosial,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membut sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dibimbangi boleh menggangu siasatan yang dilakukan oleh pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Bilil Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

Tujuh orang suspek ditahan bagi membantu siasatan kes gaduh di sebuah premis kedai makan, Jalan Matang.

Suara Sarawak