MINYAK masak terpakai yang telah dikumpul akan melalui proses tapisan sebelum boleh di eksport berdasarkan tahap kualiti yang ditetapkan.

BAGI pengusaha restoran, peniaga makanan goreng, atau anda yang duduk di rumah, jangan sesekali buang minyak masak terpakai selepas digunakan.

Daripada menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, anda boleh menukar sisa domestik ini kepada sumber pendapatan sampingan, sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan bulanan.

Di Kuching, sebuah syarikat pengumpul minyak terpakai, Kim Huang Enterprise salah satu syarikat yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengumpul dan membeli minyak masak terpakai daripada orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernard Lee Kim Huang berkata, pembekal hanya perlu mengumpul semua minyak masak terpakai menggunakan bekas yang telah disediakan syarikatnya kepada mereka.

Menariknya, pembekal tidak perlu melakukan proses tapisan, sebaliknya kakitangannya akan mengumpul kembali bekas yang penuh dari satu tempat ke satu tempat secara percuma dengan bayaran sehingga RM3 satu kilogram (kg).

“Kami menyediakan pelbagai jenis dan saiz bekas untuk menyimpan minyak masak terpakai kepada pembekal dan kami hanya akan kutip apabila ia sudah penuh mengikut waktu tertentu

“Bagaimanapun harga minyak terpakai ini tidak statik, ia bergantung kepada harga pasaran semasa, dan kami selalunya akan menetapkan harga sekitar RM2.50 hingga RM3 satu kg,” katanya kepada pemberita.

Bermula secara kecil kecilan pada 2010, kini Bernard mampu mengumpu sehingga 100 tan minyak masak terpakai dari seluruh bahagian Kuching sehingga Sri Aman.

Minyak terpakai yang dikumpul daripada pembekal pula akan melalui proses tapisan di kilang penapisan berlesen di Batu Kawah, sebelum dieksport kepada sebuah syarikat penghasilan Biodiesel di United Kingdom.

“Untuk menjalankan perniagaan ini pada awalnya bukan mudah, saya perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga daripada pihak berkuasa tempatan seperti MBKS, MPP dan DBKU.

“Destinasi akhir adalah di United Kingdom. Kita akan hantar stok ke Pasir Gudang Johor, kemudian di sana mereka akan kumpulkan semua minyak masak terpakai dari Asia Tenggara, dipamkan ke dalam tangki yang besar sebelum dihantar ke UK,” katanya.

Bertahun dalam industri berkenaan, Bernard melihat sendiri kesan buruk pembuangan minyak masak terpakai yang tidak strategik dan menyumbang kepada masalah sistem perparitan tersumbat atau pencemaran alam sekitar.

Justeru kerjasama erat bersama PBT perlu untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada orang awam mengenai usaha tersebut selain menyokong agenda kerajaan negeri ke arah Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Ekonomi Hijau.

BERNARD LEE KIM HUANG

“Kami berharap kerjasama yang lebih erat lagi bersama pihak berkuasa tempatan, kerana dengan bantuan mereka kita mungkin boleh menyampaikan mesej dengan lebih berkesan kepada penduduk setempat.

“Ini kerana masih banyak kawasan penempatan sekarang ini. Saya yakin masih ada mereka yang membuang minyak masak terpakai.

Bayangkan kalau satu perumahan yang besar membuang minyak masak dalam saluran perparitan.

Jadi kita mesti bertindak dengan cepat dan strategik, supaya sisa ini boleh dimanfaatkan, bukan dibazirkan,” ujarnya lanjut.

Selain di Sarawak, perniagaan membeli minyak masak terpakai milik Bernard juga beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara seperti di Vietnam dan Kemboja, sekali gus menambah penghasilan minyak masak terpakai kepada sekitar 300 tan.

Orang awam yang mahu menjual minyak masak terpakai boleh menghubungi syarikat Kim Huang Enterprise di talian 016-908 1768 atau laman sosial Facebook Kim Huang Enterprise.

PASUKAN yang menjadi tulang belakang syarikat Kim Huang Enterprise.

Suara Sarawak