KUCHING: Kerajaan Sarawak menggesa Kerajaan Persekutuan melihat secara serius kekerapan penerbangan ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, termasuk harga tambang penerbangan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gesaan ini sebagai salah satu usaha Sarawak yang kini komited membawa masuk lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.

Katanya, buat buat masa ini, harga tambang penerbangan agak tinggi menjadi faktor yang boleh meningkatkan kos bagi pelancong dalam menempah percutian mereka.

“Justeru, mempunyai lebih banyak penerbangan pada harga yang lebih rendah, ia akan membantu menggalakkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Sarawak memandangkan sempadan antarabangsa telah dibuka sejak minggu lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2022, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Abang Johari mendedahkan, sektor pelancongan di Sarawak mula menunjukkan pemulihan apabila sejumlah 548.08 peratus pelawat dicatatkan dalam bulan Januari dan Februari 2022 berbanding tempoh sama yang dicatatkan tahun lalu. Beliau mendakwa, ia merupakan petunjuk sangat baik bagi membuka laluan kepada pemulihan pelancongan.

“Sebelum wabak Covid-19 melanda, Sarawak telah menunjukkan prestasi yang agak baik dalam pelancongan. “Malah pada 2019, ketibaan pelawat ke Sarawak pada tahap tertinggi sepanjang masa iaitu 4.66 juta,” dedahnya.

Bagaimanapun tegas Abang Johari, Sarawak tidak hanya menunggu dan melihat kesan wabak tersebut tetapi mengambil inisiatif berani untuk mencipta jenama tempatan Sia Sitok Sarawak dan Penginapan Sia Sitok sejak 2020.

“Kempen perjalanan domestik tersebut menimbulkan minat untuk menemui semula destinasi domestik di Sarawak sekali gus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.  “Seperti yang saya katakan tadi, Sarawak kini dalam mod pemulihan dan membina semula industri pelancongan kita di negeri ini,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap dan percaya agar proses pemulihan dalam industri pelancongan di Sarawak dan negara akan bergerak ke hadapan dengan pantas apabila keadaan semakin stabil.  Ia susulan Malaysia sudah mula memasuki fasa endemik.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak