Ubah sikap buang sampah merata-rata

KUCHING: Pembuangan sampah merata-rata tempat kerap berlaku walaupun terdapat tong sampah dan kemudahan lain.

Ia berlaku dipercayai berkait rapat dengan tingkah laku, pemahaman dan pengaruh orang ramai, kata seorang pencinta alam sekitar.

Salah seorang Pengasas Reuse Or Refuse Borneo Kelly Hiu berkata, sikap itu wujud kerana orang ramai mungkin menganggap pembuangan sampah sesuka hati tidak membawa sebarang kesan terhadap diri mahupun alam sekitar.

“Dengan adanya denda yang berat untuk membuang sampah sesuka hati, ia berpotensi mengubah sikap masyarakat ke arah yang lebih baik walaupun sedikit.

“Ambil negara jiran kita sebagai contoh, Singapura.

KETUA Pembersih Pantai Kuching Alcila Afli

Bagi pesalah kali pertama yang membuang sampah kecil seperti puntung rokok atau pembungkus gula-gula, mereka didenda $300 dolar Singapura.

“Ia boleh menjadi jumlah yang besar untuk tindakan tersebut,” katanya kepada New Sarawak Tribune.

Hiu menambah, tindakan tersebut juga dilihat sebagai tingkah laku yang mempengaruhi orang ramai kerana apabila seseorang membuang sampah merata-rata, orang lain akan turut berbuat demikian.

“Selain itu, membuang sampah juga boleh menjadi kebiasaan bagi mereka yang tidak diajar dengan betul sejak kecil, di peringkat pendidikan awal, atau daripada didikan keluarga,” katanya.

Sementara itu, penyelaras projek Sahabat Alam Malaysia Sarawak Jok Jau Evong berkongsi pendapat bahawa punca orang ramai membuang sampah merata-rata tempat kerana mereka tidak ditegur atau tidak menjumpai kemudahan yang disediakan.

SALAH seorang Pengasas Reuse Or Refuse Borneo Kelly Hiu

“Bagi mereka yang membuang sampah, terutama di sungai dan tepi jalan, ini kerana sikap tidak peduli, tiada kemudahan disediakan dan kekurangan infrastruktur pelupusan sampah di kawasan mereka,” katanya.

Evong berkata, walaupun penguatkuasaan ketat undang-undang antisampah dengan mengenakan penalti dan denda berkesan menangani isu tersebut, pendidikan serta tingkat kesedaran dalam kalangan golongan muda penting untuk perubahan tingkah laku jangka panjang.

“Orang ramai perlu belajar menanggung kesan akibat tindakan mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa kerja pembersihan dalam komuniti juga boleh menjadi cara yang berkesan untuk menyebarkan mesej antipembuangan sampah merata-rata.

“Apabila masyarakat terlibat dalam aktiviti pembersihan, mereka akan menjadi lebih peka terhadap kebersihan persekitaran, sekali gus mengurangkan pembuangan sampah sesuka hati,” ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa pendekatan melibatkan kerjasama masyarakat diperlukan untuk menyelesaikan isu pembuangan sampah.

Dalam pada itu, Ketua Pembersih Pantai Kuching Alcila Aflin memaklumkan kesedaran dan perspektif rakyat terhadap pengurusan sampah agak ketinggalan daripada yang sepatutnya diamalkan oleh rakyat.

“Kita perlu melakukan yang lebih baik, terutamanya komuniti di kawasan bandar dan luar bandar.

Hal ini kerana masyarakat masih mempunyai perspektif yang lemah terhadap isu pembuangan sampah.

“Justeru, setiap orang perlu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap sisa sampah masing-masing dan mengubah perspektif terhadap cara untuk menangani sisa kita,” tambahnya.

Beliau mendedahkan bahawa aktiviti pembersihan pantai, webinar, dan aktiviti sekolah dan program jangkauan yang diadakan mampu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai.

Jelasnya, walaupun terdapat peraturan dan undang-undang, ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Saya membersihkan pantai sejak lapan tahun lalu, namun ia tidak menjadi lebih baik berdasarkan pemerhatian.

“Kebanyakan sampah yang ada di sana hasil daripada pengunjung yang datang ke pantai dan berkelah.

Ia semakin tidak terkawal,” katanya.

Alcila berpendapat, walaupun program pembersihan ditingkatkan, ia tidak mencukupi.

Pendekatan holistik perlu diambil bagi mengurangkan perlakuan tersebut berlaku dalam jangka masa panjang.

“Bukan sekadar membuat aktiviti pembersihan pantai, tetapi wujudkan juga program kesedaran dalam acara tersebut di samping mengetatkan lagi penguatkuasaan undang-undang pada hari yang sama.

Semua mesti bekerjasama untuk menjayakannya,” ulasnya.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan setiap sektor, termasuk kerajaan negeri pasti dapat memberi kesan yang lebih efektif dalam menyelesaikan isu sampah.

“Orang ramai mesti faham, bahawa tindakan sedemikian memberi kesan kepada semua.

Oleh itu, setiap orang bertanggungjawab menguruskan sampah masing-masing.

“Diharap lebih banyak penekanan terhadap pengurusan sisa pada masa akan datang dan saya gembira pihak atasan telah mengetengahkannya,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana pihak berwajib telah menekankan kepentingan kebersihan dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap isu tersebut.

Alcila juga berharap agar orang ramai sentiasa peka dan mengekalkan tingkat kesedaran ini supaya alam sekitar berada dalam keadaan yang bersih untuk dinikmati.

PENYELARAS projek Sahabat Alam Malaysia Sarawak Jok Jau Evong.

Suara Sarawak