BAU: Seorang wanita tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas dipercayai menjadi ejen judi dalam talian (JOL) di sebuah premis di Pekan Jambusan Lama, di sini, semalam.
Suspek ditahan kira-kira jam 3.55 petang hasil serbuan Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, beberapa barangan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut berjaya dirampas ketika serbuan.
“Barangan rampasan merangkumi seunit telefon pintar, sekeping kad sim, wang tunai dan dua keping kertas putih tertulis kod untuk JOL,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dedahnya, hasil semakan rekod polis mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
Ujarnya, kes kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
