SERIAN: Seorang wanita warga emas maut dilanggar sebuah kereta ketika menyeberang jalan di KM 96, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.40 malam melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam perjalanan menuju ke Sri Aman.

Katanya, apabila sampai di lokasi kemalangan, MPV dipandu seorang lelaki bersama tiga penumpang telah terlanggar mangsa, 61, pada masa itu sedang menyeberang jalan dari arah sebelah kiri jalan.

“Akibat pelanggaran ini, mangsa telah terseret dan terhumban ke bahagian seberang jalan sebelah kanan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh paramedik daripada Hospital Serian yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan di lokasi kemalangan adalah gelap, tiada lampu jalan dan berlaku di sebelah kanan jalan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, patah tangan dan kaki di sebelah kanan manakala kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak