MUKAH: Seorang pekebun warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah pacuan empat roda ketika dalam perjalanan ke kebun di Jalan Mukah-Balingian pada pagi Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias mangsa Umar Katon, 78 tahun bergerak lurus dari arah pusat bandar Mukah dan cuba memasuki simpang ke kebunnya di sebelah kanan jalan raya.

“Bagaimanapun mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh pemandu kereta pacuan empat roda Toyota Hilux berkenaan.

MAUT … keadaan motosikal mangsa yang dilanggar dari arah belakang

“Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang telah tercampak ke tepi jalan dan telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di bahagian badan dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat dan kenderaan dibawa ke Balai Trafik IPD Mukah.

Manakala pemandu berkenaan telah ditahan di lokap Balai Polis Mukah untuk tindakan lanjut dan polis IPD Mukah kini juga sedang mencari saksi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan kereta pacuan empat roda yang remuk akibat kemalangan tersebut
Mangsa..Umar Bin Katon 78 tahun

Suara Sarawak