Sumbangan duit raya diberikan kepada 65 anak yatim dari Kampung Samariang Batu, Kampung Boyan hingga ke Kampung Bintawa.

KUCHING: Seramai 65 anak-anak yatim di sekitar bandar Kuching diraikan dalam majlis berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya di Warung Nasi Pengilan Astana, Kuching.

Majlis berbuka tersebut merupakan program tanggungjawab sosial yang julung kali dianjurkan oleh pertubuhan Koperasi Petra Jaya Kuching Berhad dengan kerjasama SFMP Global Empire.

Dr Loji Roji Saibi

Pengerusinya Dr Loji Roji Saibi berkata, kos jamuan majlis iftar bersama anak-anak yatim dibiayai sepenuhnya oleh seorang dermawan yang mahu identitinya dirahsiakan dari Kuala Lumpur.

“Anak-anak yatim berkenaan dikenalpasti menerusi surau-surau di Kampung Samariang Batu, Kampung Boyan hingga ke Kampung Bintawa dengan ditemani oleh 38 orang penjaga,”katanya kepada Suara Sarawak.

Menjelas lanjut, Dr Loji memberitahu, Warung Nasi Pengilan yang mula beroperasi sejak 12 Februari diusahakan oleh usahawan muda koperasi dalam lingkungan umur 30-an dan dibantu oleh Koperasi Petra Jaya Bhd dari segi pemberian modal untuk menguruskan perniagaan.

Selain itu, ujarnya, objektif utama pertubuhan Koperasi yang ditubuhkan pada 2015 ini adalah untuk memberi galakan sepenuhnya kepada golongan muda yang berminat dalam keusahawanan.

Terdahulu, jelasnya, Koperasi hanya bergantung dengan jualan runcit seperti ikan bilis, kuih-kuih tradisional, gula apong, ikan kering dan akhirnya mendapat kerjasama daripada pihak Angkasa untuk memasarkan produk-produk secara lebih meluas lagi.

Suara Sarawak