Datuk Hamzah Ibrahim (tengah) bergambar bersama peserta ‘Fitness Challenge’

KOTA SAMARAHAN: Acara ‘La Promenade Fitness Weekend’, yang julung kali diadakan di pusat beli-belah Hock Seng Lee (HSL) menjangkakan seramai 1,350 peserta larian dari 7 hingga 8 Mei ini.

Acara larian itu turut menyaksikan seramai 1,350 pendaftaran merentasi empat kategori iaitu larian separuh maraton 21km, 10km dan 5km dan larian 3km.

Menurut Pengarah Eksekutif Hock Seng Lee (HSL) Tony Yu, ia merupakan festival larian pertama sejak 2019 dan menarik 100 peserta, termasuk pengajar gim dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Bintulu dan Miri.

“Kami teruja kerana dapat mengeratkan lagi perhubungan dengan komuniti Samarahan dan Kuching.

“Sebagai sebuah pusat beli-belah yang baharu, kami mengutamakan khidmat masyarakat di samping peruncitan. Kami bangga kerana mewujudkan larian terbesar sejak 2019, yang menawarkan kadar bersubsidi daripada hanya RM30 sahaja bagi satu pendaftaran dengan hadiah-hadiah wang tunai yang lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Acara ‘La Promenade Fitness Weekend’ atau Hujung Minggu Kecergasan La Promenade, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stakan Datuk Hamzah Ibrahim di Bangunan Hock Seng Lee (HSL) di sini, hari ini.

Tambah Tony, pada masa sekarang merupakan masa yang terbaik untuk mengutamakan kecergasan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilonggarkan.

Katanya, sama seperti Kejohanan Terbuka Bonsai Sarawak, La Promenade Mall aka menjadikan ‘Fitness Weekend’ satu acara tahunan.

“Kami amat gembira melihat belia dan keluarga daripada semua kaum berhimpun untuk riadah yang amat menyeronokkan.

“Kami berharap orang ramai dapat melihat nilai dalam hala tuju berpaksikan komuniti yang kami telah ambil,” ujarnya.

Dalam acara tersebut, ia menyaksikan pemenang untuk membawa pulang hadiah-hadiah berjumlah RM10,000 yang diberikan kepada para pemenang acara larian 21km dan 10km, selain satu pertandingan ‘Best Dressed’ (Berpakaian Terbaik).

Suara Sarawak