KUCHING: Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing melahirkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan telekomunikasi di kawasan Dun Meradong yang dilihat semakin kurang memuaskan saban tahun.

Adun Meradong Datuk Ding Kuong Hiing

Beliau berkata, ia berkemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan syarikat telekomunikasi (telco) yang gagal menyelenggara menara telekomunikasi yang ada.

“Rakyat juga semakin gusar apabila kampung mereka sebelum ini mempunyai talian perkhidmatan namun tidak lagi kini malah, terdapat beberapa juga menara telekomunikasi yang telah lama dibina tetapi kekurangan kelengkapan yang diperlukan untuk menyediakan talian telekomunikasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau gembira melihat usaha Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi yang mengambil langkah proaktif untuk cuba mengatasi isu yang mendesak ini, termasuk mendapatkan semua syarikat telekomunikasi untuk bersama-sama menggunakan beberapa langkah konkrit untuk menangani isu ini.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi digital dan telekomunikasi.

“Oleh itu, adalah menjadi hasrat kami agar kemudahan asas dalam bentuk telekomunikasi dapat dinikmati oleh seluruh Sarawak dalam masa terdekat ini,” tambah Ding.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN Ke-19, hari ini.

Suara Sarawak