MASUK tahun keempat tahun ini, syarikat gergasi makanan segera McDonald’s Malaysia sekali lagi tampil dengan penghargaan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 dengan 25 nama guru terpilih dari seluruh Malaysia diumumkan pada 14 Mei lalu.

Pada peringkat pertama, seramai 5,689 pencalonan ditapis dan memasuki tapisan kedua, hanya 50 guru dipilih.

Memasuki tapisan ketiga, 25 guru dari seluruh Malaysia terpilih untuk menerima anugerah berkenaan.

Manisnya kali ini, kisah guru di kawasan pedalaman Baram berjaya menambat hati juri, sekali gus menjadikan Cikgu Kelimin Lidam berusia 46 tahun dari Sekolah Kebangsaan Long Moh, Ulu Baram terpilih menjadi satu-satunya guru dari Sarawak menerima anugerah itu tahun ini.

Biarpun tiada media tempatan melaporkan kejayaannya itu, Suara Sarawak menghubunginya agar kisah Cikgu Kelimin yang berkhidmat di kawasan pedalaman terus memberi inspirasi kepada semua pembaca.

PENGHARGAAN… Kejayaan Cikgu Kelimin dihargai apabila kisahnya menambat hari juri dhadir sendiri menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 di Kelantan minggu lalu.

Ketika dihubungi beliau memaklumkan cukup terkejut dengan pengumuman McDonald’s Malaysia.

“Saya terkejut dan terharu kerana telah dipilih menerima anugerah ini, sebab kita tahu McDonalds Malaysia, memang strategi mereka memberikan kejutan kepada semua pemenang.

“Tidak terlintas di hati saya untuk mendapat anugerah yang amat berharga bagi diri saya sepanjang berkhidmat sebagai guru kerana masih ramai dalam kalangan guru yang lebih baik atau layak daripada saya.

“Ramai juga guru di Baram yang kreatif serta inovatif. Mungkin kali ini adalah rezeki saya, bak kata orang, rezeki tidak salah tempatnya,” katanya.

Kelimin berterima kasih kepada Cikgu Muhammad Zulhamzi yang kini bertugas di Terengganu kerana ikhlas mencalonkan dirinya kepada McDonals Malaysia.

“Beliau juga banyak mengaturkan segala urusan sepanjang pencalonan ini. Sokongan padu daripada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Baram Matthew Laing juga menguatkan lagi pencalonan ini.

“Beliau merupakan seorang ketua jabatan yang sentiasa berusaha memberikan sesuatu yang terbaik untuk Baram serta berpegang kepada prinsip giving my best,” ujar anak jati Rumah Sap Sungai Tulai Bintangor ini.

Cikgu Kelimin berkhidmat di SK Long Moh, Ulu Baram sejak dilantik ke jawatan guru besar pada 16 Oktober 2017 sehinggalah ke hari ini.

Sebelum ini beliau bertugas sebagai Penolong Kanan 1 di SK Long Teran Kanan Baram.

Merupakan guru opsyen bagi subjek Sains, namun kini beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Iban dan Pendidikan Moral di sekolah berkenaan bersama-sama 11 guru dan mengajar 54 murid tahun satu hingga enam.

TIDAK TAHU BERENANG

Menurut masyarakat Penan, Kayan mahupun Kenyah di kawasan pedalaman Baram, perkataan “long” ini membawa maksud petunjuk arah sungai dan ia menggambarkan sesebuah kawasan itu terletak di pedalaman Baram.

Ia juga cukup sinonim dengan masyarakat setempat untuk membezakan setiap tempat di kawasan pedalaman Baram dan ia disatukan dengan nama di setiap belakang perkataan “long” ini.

Maka tidak hairanlah setiap lokasi disertakan dengan nama Long ini. Menurut Cikgu Kelimin, SK Long Moh, Ulu Baram adalah sebuah sekolah yang jauh di pedalaman dan mengambil masa sekitar enam setengah jam menggunakan jalan darat dari Miri dan diteruskan menggunakan perahu sekitar 30 minit untuk sampai ke sekolah.

“Daripada enam setengah jam itu, sekitar empat setengah jam memerlukan kita memandu di jalan balak.

“Jalannya amat licin dan berbahaya sekiranya hujan.

FOTO perkongsian Cikgu Kelimin kepada Suara Sarawak mengenai pengalamannya menggunakan jalan balak dan sungai ke sekolah di pedalaman.

Hanya kereta pacuan empat roda yang dapat menempuh belantara ini.

“Menggunakan pengangkutan sungai, makan apa-apa yang ada sudah sebati dengan jiwa kami di sini. Saya tetap bersyukur dengan apa-apa yang ada,” katanya berkongsi.

Pengalaman sebagai guru di pedalaman sehingga kini tetap segar dalam ingatannya apabila mengenang insiden karam di jeram air sungai semasa beliau dalam perjalanan balik ke sekolah sewaktu berkhidmat di SK Long Lamei suatu ketika dahulu.

“Dalam insiden karam itu, saya dapat menyelamatkan diri kerana saya pandai berenang dan sudah biasa dengan sungai.

Ia berlaku sewaktu perahu menaiki satu jeram… kipas enjin patah dan perahu melintang pada batu besar dan pecah.

“Saya seorang sahaja pada waktu itu dan saya terpaksa berjalan kaki dari tempat karam ke sekolah melalui tebing sungai sampailah ke sekolah mengambil masa sekitar 30 minit,” katanya yang sudah cukup biasa dengan keadaan geografi dan logistik yang mencabar di sana.

JADIKAN KEKURANGAN SATU ANUGERAH

Seperti guru pedalaman yang lain, Cikgu Kelimin memberitahu gaya hidup di kampung dan kawasan yang serba kekurangan dari segi akses jalan raya, Internet adalah satu cabaran kepada semua guru, murid-murid dan staf lebih-lebih lagi semasa pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) berikutan penularan Covid-19.

“Pihak sekolah terpaksa menghantar dan mengutip balik bahan pengajaran murid-murid dengan kapasiti yang mampu.

Namun ini bukan satu halangan besar, kerana ia juga dapat dilaksanakan mengikut cara kami,” katanya.

Jelasnya lagi, kekurangan kelengkapan sekolah kerana sosial status ekonomi keluarga murid yang banyak bergantung kepada hasil pertanian dan hasil hutan tidak dapat dinafikan menjadi halangan untuk memastikan anak-anak pedalaman ini terus mendapat pendidikan yang sempurna.

“Guru juga mempunyai inisiatif tersendiri untuk menangani cabaran ini.

“Apabila kita menetapkan visi dan misi, kita akan sedaya upaya mencapainya dengan cara tersendiri dan guru juga perlu berfikiran di luar kotak supaya tidak terlalu ketinggalan dalam dunia pendidikan,” tambahnya.

Katanya, menjadi perkara mudah untuk berkomunikasi dengan pelajar di sana kerana bahasa Melayu akan digunakan biarpun kini penguasaannya dalam bahasa Penan boleh dikatakan memuaskan.

Bapa kepada lima anak ini turut memberitahu, antara pengalaman manis bergelar seorang guru apabila ada bekas pelajar yang pernah dididiknya sudah berjaya dalam bidang masing-masing.

Ada yang berjaya menjadi guru dan dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

KERJASAMA KOMUNITI DAN GURU

Perubahan di sekolah pedalaman katanya, harus terus berlaku dan bergerak ke arah yang positif.

“Maka kerjasama dalam kalangan komuniti, guru dan murid sangat penting untuk melaksanakan perubahan ini.

“Tidak ada kejayaan akan dicapai sekiranya manusia tidak mahu berubah,” katanya dan menambah, Pegawai Pendidikan Daerah Baram juga sering memberikan motivasi kepada staf di sekolah.

“Ini diterjemahkan apabila beliau melawat ke sekolah pada setiap tahun untuk menyantuni staf, murid, ibu bapa di SK Long Moh ini.

“Pegawai di PPD Baram juga sangat banyak membantu terutamanya membimbing dalam segala aspek,” tambahnya.

Ditanya mengenai Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2022 yang diterimanya, Cikgu Kelimin memberitahu kejayaan ini juga adalah kejayaan staf dan murid-muridnya yang bersama-samanya selama ini.

“Kami sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan apaapa tugas yang diamanahkan.

Tanpa mereka, saya tidak juga akan mendapat anugerah ini,” jelasnya lagi.

KUKUHKAN JATI DIRI

Dalam kesempatan itu, Cikgu Kelimin turut menasihati bakal guru agar akur dengan akur janji yang telah dipersetujui sebelum ini jika dilantik atau ditawarkan ke jawatan guru.

“Penempatan sama ada ke sekolah pedalaman ataupun bandar diakui ada pro dan kontranya.

Kita sendiri perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekitar.

Semaikan minat bekerja, barulah hati senang. Jangan menganggap kerja kita ini sebagai satu beban.

“Memang mengajar di kawasan pedalaman mempunyai cabaran tersendiri. Hanya guru yang pernah merasainya tahu.

“Paling penting ia dapat mengajar kita menjadi seorang yang lebih kental, kreatif serta berdikari.

“Namun, sekiranya ada rezeki suatu hari nanti, kita mungkin ditawarkan untuk mengajar di kawasan bandar pula,” jelasnya lagi.

Cikgu Kelimin turut memberitahu bahawa beliau sangat bangga menjadi guru dan amat menyayangi profesion itu.

“Saya akan sedaya upaya melakukan sesuatu yang lebih baik mengikut kemampuan dan kesesuaian saya,” tegasnya

Dalam majlis penganugerahan sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok baru-baru ini, Cikgu Kelimin turut hadir menerima penghargaan berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin.

Beliau bersama-sama 24 guru lain menerima anugerah berupa trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000.

“Terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan McDonald’s Malaysia atas anugerah ini.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, semua pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Baram, rakan-rakan guru SK Long Moh, ibu bapa serta murid-murid kerana memberikan sokongan yang amat baik selama saya bergelar guru.

“Sejujurnya yang terbaik itu daripada Tuhan, yang kurang itu daripada saya sendiri.

“Siapa kata Baram tak setanding dengan daerah lain. Kepimpinan PPD Baram telah berjaya meletakkan PPD Baram diiktiraf lima bintang setanding dengan PPD yang lain,” katanya lagi.

Semoga kisah Cikgu Kelimin dapat memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja.

Jika ada dalam kalangan anda ditempatkan di kawasan pedalaman, sama ada menjadi guru ataupun dalam kerjaya lain yang berkaitan, bersedia dan terima semua cabaran sebagai satu nikmat yang tidak ternilai.

Maka sewajarnya penghargaan berterusan perlu diberikan kepada guru di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana tidak semua orang boleh menghalas tugas mulia ini.

Selamat Hari Guru.

 

Suara Sarawak