Annuar ketika menjawab soalan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon pada persidangan DUN ke-19 Sarawak bagi Penggal Pertama, hari ini.

KUCHING: Sebanyak 10 buah sekolah daif di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum telah dikenalpasti untuk dinaik taraf, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata, daripada 10 buah sekolah daif di kawasan Dun Murum, lima buah masih dalam perancangan dan lima buah dalam peringkat pelaksanaan.

Bagi SK Long Gang katanya, sekolah ini telah diperuntukkan sejumlah RM3.3 juta dan ia telah siap di bawah projek sistem binaan berindustri (IBS) 2019.

“Bagi projek yang sedang dalam pembinaan, ia merangkumi SK Batu Keling yang menelan kos lebih kurang RM5.9 juta (siap 13 peratus); SK Ulu Kakus (RM13.3 juta) dan telah siap 47 peratus dan SK Metalun (RM8 juta) dan siap 12 peratus.

“Manakala bagi SK Tegulang, di bawah projek RMK11, ia masih dalam proses dokumentasi tender,” katanya.

Justeru katanya sekurang-kurangnya RM30.5 juta telah diperuntukkan bagi menaiktaraf empat buah sekolah di kawasan Dun Murum ini.

Adun Nangka itu berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon berhubung jumlah sekolah daif seluruh Sarawak yang dikenalpasti oleh Kementerian Pendidikan untuk dinaiktaraf pada persidangan DUN ke-19 Sarawak bagi Penggal Pertama, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar mendedahkan sebanyak 455 buah sekolah daif di Sarawak yang telah dikenalpasti bagi projek naik taraf dari tahun 2017 hingga 2022.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 245 buah sekolah daif di Sarawak yang telah siap dinaik taraf dibawah inisiatif Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Suara Sarawak