Kakitangan KKM melakukan pemeriksaan dalam Ops Mega 2022 2022 di sekitar Bintulu.

BINTULU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 30 kompaun dengan nilai RM8,750 dikeluarkan dalam Ops Mega 2022 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di sekitar Bintulu, pada Selasa.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang berkata, daripada jumlah tersebut 23 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok di bawah Perkara 11(1)(d) dengan nilai RM 5,750.

“Manakala dua kompaun bagi kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Perkara 11(1)(e) bernilai RM 500.

“Lima lagi kompaun dengan nilai RM2,500 dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di bawah Perkara 12(1)(a) sepanjang operasi bermula jam 9 pagi hingga 12:30 tengah hari,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 94 premis makanan dan sebuah terminal bas diperiksa sepanjang operasi melibatkan kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Sibu, Mukah dan Daerah Belaga serta anggota penguat kuasa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Bintulu.

Menurutnya lagi, sehingga kini terdapat sebanyak 23 tempat telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuk hospital, klinik tempat makan, kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, lapangan terbang,bangunan premis kerajaan, kompleks membeli belah, stesen minyak dan lain-lain.

Suara Sarawak