KUCHING: Kerajaan Persekutuan harus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak bagi memperkukuhkan keselamatan sempadan di negeri ini, kata Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Pada masa sama, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memperhebatkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan rentas sempadan di Sarawak.

“Ini akan memastikan keselamatan awam dan keselamatan sempadan kita tidak akan terancam di dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bersempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Taib menjangkakan peluang sosio-ekonomi yang besar hasil daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Katanya jarak yang dekat antara Sarawak dengan Nusantara akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala.

Justeru, beliau gembira kerana Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengorak langkah ke hadapan untuk membangunkan sambungan kuasa rentas sempadan ke Kalimantan Barat.

Selain itu, katanya SEB juga bekerjasama dengan syarikat Indonesia untuk membangunkan projek hidroelektrik di Kalimantan Utara.

“Kedua-dua projek ini akan melengkapkan grid kuasa ASEAN,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap sektor swasta bersedia dan bersama-sama merebut serta memanfaatkan peluang perdagangan dan ekonomi berkenaan.

Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membuat pemeriksaan perbarisan sempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak